Translate

8.11.24

Takhta Antara Dua Alam : Ep 26 - Kebangkitan Dewi Lo Balqis

Kabut tebal menyelubungi lautan yang bergelora ketika Permaisuri Urduja berdiri memandang adindanya yang telah tersedut masuk ke dalam artifak purba. Hatinya berdebar-debar, rasa risau merayap ke dalam dadanya.

                              

"Berhenti di sini!" titah Permaisuri Urduja tegas kepada bala tenteranya. Mereka berhenti, menatap penuh kebimbangan ke arah artifak yang bergetar dengan cahaya jingga kemerahan, berdenyut seakan-akan hidup. Urduja sudah tidak berani menghampiri lagi, takut tenaga dalaman mereka disedut masuk ke dalam artifak dan tenggelam ke dasar lautan yang sedang mengganas.

Tanpa membuang masa, dia memanggil suaminya, Tengku Raden Wirna Wijaga, melalui telepati.


Permaisuri Urduja: “Kekanda, maafkan adinda. Adinda ke Kerajaan Tahan untuk mencari tahu kebenaran…”

Namun, sunyi sepi. Tiada balasan. Di dalam Balairung Seri, Tengku Raden Wirna terkedu memandang artifak yang kini sunyi, hanya menyisakan keheningan yang suram. Permaisuri Balqis, isterinya, sudah lenyap ke dalam artifak tersebut, hilang tanpa jejak. Semua yang menyaksikan turut membeku, diam membatu dalam kekagetan.

Di sudut belakang, tersenyum sinislah Ratu Muni Kerram sambil memandang pasukannya yang sudah mengepung artifak. Keyakinannya memuncak kerana Pheonix yang menjadi ancamannya itu sudah lemah, dan kembar yang menjadi sumber kekuatannya sudah musnah oleh senjata purba ( itulah sangkaannya ). 


Ratu Muni Kerram: "Mampuslah engkau, Balqis... Akhirnya waktumu telah tiba."

Panglima Zarq, yang berdiri di sampingnya, tersenyum sinis, berundur dengan tenang.


Panglima Zarq: “Sebentar lagi, Wahai Ratuku. Kita akan menyerang mereka…”

Di dalam artifak, Permaisuri Balqis yang masih di bawah sedar melihat bayangan misteri berjasad, menatapnya dengan pandangan tajam dan senyuman sinis.



Lembaga: "Tidakkah kau kenal siapa aku?"

Balqis memandangnya dengan hairan dan bingung.


Permaisuri Balqis:
"Siapa kau?"

Lembaga itu tertawa nyaring, suaranya bergema seakan-akan menyusup masuk ke setiap inci tubuh Permaisuri Balqis.


Lembaga: "Akulah... diri kau! HAHAHAHA!"

Tanpa ampun, lembaga itu menyelinap ke dalam tubuh Balqis, menguasainya dengan arus tenaga yang sangat dahsyat. Seluruh tubuh Balqis digegarkan dengan kuasa yang luar biasa, menyentak ingatannya yang kabur dan memaksa setiap kenangan lampau bangkit satu persatu. Balqis mula melihat bayangan yang telah lama tersembunyi, sebuah dunia purba di mana para Dewa berperang dalam pertempuran dahsyat.






Matanya terbuka, terbakar dengan ingatan dari zaman Dewa-Dewi yang penuh kegemilangan dan kengerian. Dia kini ingat bagaimana tubuhnya pernah disatukan dengan 11 Pati Hayat Pheonix, makhluk legenda yang ditangkap dan dikorbankan demi memindahkan kekuatan yang cukup untuk menentang Ratu Hubaffah. Seorang Ratu Pheonix yang dahulunya pernah menghancurkan seluruh peradaban tanpa sebab yang jelas, membinasakan makhluk abadi, Dewa-Dewi, dan makhluk lain tanpa belas kasihan – termasuk kedua ibu bapanya.


Gema Jeritan Abadi

Permaisuri Balqis menggenggam erat tangan ayahandanya yang lemah ( dalam ingatannya ), tubuhnya terasa kaku, tak mampu bergerak di tengah kenangan yang menghiris jiwa. Dia melihat ayahandanya rebah di ribanya, wajah yang dulu dipenuhi kebijaksanaan kini diselimuti kesedihan dan penderitaan, tetapi senyuman kecil terselit di bibirnya, seakan-akan mengucapkan selamat tinggal dengan penuh keikhlasan.

Air mata mula mengalir dari sudut mata Balqis, namun bukan air mata biasa. Titisan keemasan jatuh perlahan-lahan, membasahi tangan ayahandanya, lalu mengalir seperti sungai kecil yang membawa bersama janji setia dan dendam terpendam. Warna emas itu adalah lambang kemuncak kuasa dan kekuatan dewa-dewi yang kini bersemadi dalam dirinya – simbol keagungan yang selama ini tersembunyi, kini membuak keluar seperti aliran lava yang meretakkan gunung.


"Ayahanda… kenapa harus berakhir begini?" bisiknya, suaranya bergetar menahan kepedihan. Namun, tidak ada jawapan, hanya keheningan abadi yang membisu.

Tiba-tiba, satu rasa dendam dan kesedihan mula mendidih di dalam jiwanya, memenuhi setiap rongga tubuhnya. Perasaan yang telah lama tertahan itu kini meletus tanpa terkawal. Dengan kekuatan yang tidak terhingga, Balqis mendongak ke langit dalam artifak yang dipenuhi kenangan-kenangan kelam, lalu menjerit sekuat tenaga.


Jeritan Balqis bukan jeritan biasa. Ia adalah suara yang memanggil segala roh dan energi dari masa silam, memecahkan batas dimensi dan menggegar alam sekitar. Gema jeritannya memenuhi seluruh ruang dalam artifak, bergetar dengan frekuensi yang mengerikan, seolah-olah setiap dinding artifak menahan kesakitan dan kemarahan yang sama.

                                       

Cahaya di dalam artifak itu berubah menjadi pancaran merah dan jingga yang semakin lama semakin terang, seperti jantung yang berdegup laju. Kekuatan Balqis meledak melalui jeritannya, dan aura emas mula terpancar dari tubuhnya, menyinari seluruh ruang gelap artifak. Tenaga yang terpendam kini bebas, bagaikan badai api yang tidak dapat dihentikan.

Seluruh alam terasa getaran suara itu. Di luar artifak, tentera Ratu Munni Kerram terpegun, merasakan sesuatu yang sangat menakutkan sedang berlaku. Mereka mulai gentar, ada yang mundur, seakan-akan dapat merasai gelombang kebangkitan yang luar biasa.


"Aku akan menuntut balas atas setiap nyawa yang telah kau ragut, Ratu Hubaffah…!" Jeritan Balqis bergema sekali lagi, kali ini bagaikan janji yang tidak akan terpadam, dendam yang berusia Puluhan ribu tahun.

Cahaya jingga yang berdenyut-denyut pada artifak itu tiba-tiba berhenti, seakan mengambil nafas panjang sebelum meledak memancarkan cahaya keemasan yang dahsyat ke arah pasukan musuh di belakang. Ledakan itu melibas dengan rakus, menghancurkan setiap makhluk yang berada dalam jangkauannya. Batalion musuh Ratu Munni Kerram berterbangan seperti debu tanpa sedikit pun jeritan...ianya sangat pantas berdesup melibas dan menelan Pasukan Ratu Munni Kerram yang tidak sempat berundur TERMASUKLAH Ratu Munni Kerram Dan Panglima Kesayangannya Xinas....

Para batalion dari Kota Kayang dan sekutunya terpana menyaksikan kehancuran yang berlaku sekelip mata.



Kehebatan Dewi Lo Balqis yang selama ini hanya menjadi legenda, kini muncul di depan mata mereka, menggegar alam nyata dengan kemarahan yang tidak terhingga.

                                        

Dari dalam artifak, Balqis keluar, terapung di udara, wajahnya tidak lagi seperti manusia biasa. Matanya bertukar sinar emas kepada sinar kemerahan, auranya memancar dengan dendam yang sudah berabad lama terpendam.


Dewi Lo Balqis: "Ratu Hubaffah… di mana engkau?! Aku akan menuntut pembalasan!"

Balqis,...... kini Dewi Lo Balqis, berputar dan memandang ke arah pertempuran yang baru akan bermula. Mencari cari di manakah Ratu Hubaffah Musuh Ketatnya.


Dewi Lo Balqis: "Kalian semua… akan merasakan kemurkaan seorang dewi yang bangkit dari abu dendam dan kehilangan!" Katanya sambil menunjukkan jari ke arah semua Batalion Kerajaan bersekutu tanpa memahami dan mengingati siapakah mereka, Ingatannya terhadap kasih sayang dan cintanya kepada dunia itu dan suaminya Sudah Tertimbus dek dendam yang membara.

Pasukan musuh yang tersisa hanya mampu menggigil, seolah-olah kematian telah menyapa, dan satu era baru dari peperangan antara dua alam akan segera bermula. Mereka semua cuba Melarikan diri , Namun Sisa Aura tenaga keemasan artifak yang tersisa haba di sekeliling mereka umpama Pagar yang masih ada, bila mereka melintasnya mereka semuanya hancur menjadi debu

Kesemua Batalion Pasukan Bersekutu terpaku, di dalam hati mereka hanya mampu berserah kepada keajaiban yang mampu memihak kepada mereka, Tengku Raden Wirna Wijaga Yang terkenal dengan sifat Asih dan tegasnya hanya mampu menitiskan air matanya perlahan lahan...Amanah dan tanggungjawab kepada Rakyat sebagaimana Amanah Sultan Muhammad kepadanya, Anak kepada Sultan Muhammad isterinya yang pertama di hukum bunuh demi kesejahteraan Negara, Kerajaan dan Rakyat...adakah perlu ia berulang kembali?..

Bibirnya langsung berpuisi sambil mengalirkan air mata memerhatikan Isterinya Permaisuri Balqis berubah:

Adat istana jadi saksi,
Di singgahsana berdiri sendiri,
Tengku Raden, nama terpahat,
Mendepani badai tanpa sempadan.

Bukan sekadar mahkota di kepala,
Bukan sekadar gundik mengiringi,
Namun amanah tak terkira,
Anak dan isteri dipasakkan hati.

Menjadi pemerintah, peritnya nyata,
Di hadapan rakyat, diri terluka,
Biar senyum mengiringi wajah,
Namun hati luluh, berdarah merah.

Walau anak dan isteri perlu dikorbankan,
Itulah nasib, berat ditanggung,
Keagungan takhta bukan sekadar bicara,
Tetapi titah dan titian bara.

Yang dipikul bukan sekadar gelaran,
Namun janji setia, harga pengorbanan,
Jika darah mengalir dari mata,
Biarkan, asalkan rakyat sejahtera.

Resam takhta ini disandang berani,
Walau derita, terpahat abadi.


Ratu Sabiqin serta Puteri Khairina yang melihat suami dan ayahandanya berpuisi turut menangis, Permaisuri Urduja yang mendengar melalui telepati juga berasa sayu dan mengalirkan air mata tertunduk hiba. " Kekanda..... sebegitu dalam cinta kanda kepada Adinda Balqis ?"

========================================
Di Alam Jin ( Kerajaan Bagio ) 

Panglima Zarq, yang tadinya Mengundur sudah pun menghilang, dan Jasadnya yang asli cuma tersenyum berhelah



" Sudah Sampai Seruanku Tuanku DEWA IZDAHAR, Amanah Tuanku kepada Patik Sudah Patik Selesaikan, sekarang menunggu titik akhir sebelum Kerajaan Kita Kembali berkuasa dan melenyapkan Makhluk Hina itu"

Perlahan Lahan Panglima Zarq bertukar bentuk, Aura Keemasan membaluti Tubuhnya...



Menjadi Bentuk Asalnya DEWI BEDOFATEN TY...

Sejenis Dewi Pemusnah Yang Menjunjung Titah Pemerintahnya Dewa Izdahar, Menggunakan Batu  biru Kristal di Perisainya, sekelip Mata Dewi Bedofaten Ty ini Sudah Ada di Alam Bunian Meninggalkan Sisa Istana Bagio Yang baru di musnahkan dalam sekelip mata. 



Sementara di Perairan Kota Kayang mereka yang menyaksikan Jasad Yang berada di hadapan mereka bukanlah bayang-bayang Balqis lagi, tetapi tubuh sebenar yang terselubung kekuatan Dewa-Dewi yang tiada tandingannya.

BERSAMBUNG..........

================================================

NANTIKAN EPISODE 27 YANG AKAN MENJELMA SEGERA

1. Apakah Hubungan Dewi Lo Balqis dengan Dewi Bedofaten Ty?
2. Mampukah Kerajaan Kota Kayang dan sekutunya bertahan ?
3. Apakah Nasib Ratu Hubal Zufafah Yang sedang lemah?

No comments:

Post a Comment

Hubungi Pn Kai Shomel 01111701048/01133012715 Utk Nego

Takhta Antara Dua Alam : Ep 26 - Kebangkitan Dewi Lo Balqis

Kabut tebal menyelubungi lautan yang bergelora ketika Permaisuri Urduja berdiri memandang adindanya yang telah tersedut masuk ke dalam artif...