SPIRIT CONJURING: FITNAH HALUS YANG MENGHANCURKAN AKIDAH
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat satu trend mistik yang semakin menular dalam kalangan umat Islam di Nusantara — Spirit Conjuring atau pemanggilan roh, sama ada roh nenek moyang, roh pejuang lama, atau entiti yang kononnya membantu kehidupan.
Apa yang lebih membimbangkan, ramai mula menganggap amalan ini sebagai suatu ‘jalan pintas’ untuk mendapatkan pertolongan ghaib tanpa perlu bersusah payah dalam ibadah, zikir, atau suluk diri. Lebih malang, mereka tidak menyedari bahawa jalan yang diambil ini sebenarnya menuju kehancuran akidah dan jauh dari rahmat Allah.
ASAL-USUL SPIRIT CONJURING
Spirit Conjuring bukan berasal dari tradisi Islam. Ia berakar dari ritual Kristian okultis, kaum pagan Eropah, dan amalan neo-spiritual Barat seperti Wicca, Satanisme, dan Druidisme. Ia mula popular dengan istilah séance, di mana pemanggilan roh dilakukan melalui medium atau pendeta. Kemudian berkembang melalui budaya pop — filem seram, ritual kuil, hingga aplikasi moden.
Ritual ini menyerap masuk ke tanah air kita melalui filem dan media barat, lalu dibungkus dengan nama-nama Melayu seperti 'semangat datuk', 'panggil penjaga pusaka', dan sebagainya.
Namun, Rasulullah SAW sudah memberi amaran jelas tentang perkara ini. Dalam hadis sahih:
"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal atau dukun, lalu membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad."
(Hadis Riwayat Ahmad no. 9532, dinilai sahih oleh Al-Albani)
ROH MANUSIA YANG SUDAH MATI, TIDAK AKAN KEMBALI
Al-Quran sudah menjelaskan bahawa setelah kematian, roh manusia akan berada di alam lain, bukan lagi di dunia ini.
فَأَصْبَحُوا۟ فِى دَٰرِ ٱلْبَوَارِ
Maka mereka dijadikan binasa dan tinggal di negeri kebinasaan (yakni alam Barzakh)
(Surah Ibrahim: 28)
Dan sabda Rasulullah SAW:
"Apabila seorang manusia mati, maka terputuslah semua amalnya kecuali tiga; sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, dan anak soleh yang mendoakannya."
(Hadis Riwayat Muslim, no. 1631)
Jelas di sini, hubungan roh dengan dunia telah terputus kecuali melalui doa, bukan pemanggilan, bukan perjanjian, bukan tawaran perjanjian darah.
FITNAH BESAR DI PADANG MAHSYAR
Apa yang lebih parah, dakwaan kononnya roh yang dipanggil itu adalah nenek moyang sendiri — adalah fitnah yang akan membawa akibat besar di akhirat. Kerana menyandarkan sesuatu kepada yang tidak benar adalah satu bentuk pembohongan terhadap si mati.
"Sesungguhnya pendusta yang paling besar ialah orang yang mendakwa sesuatu yang tidak berlaku (termasuk menyandarkan roh kepada si mati)."
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Di Padang Mahsyar, nenek moyang mereka yang sebenar tidak akan mengaku keturunan yang melakukan syirik dan fitnah atas nama mereka, kerana setiap jiwa akan lari dari tanggungjawab sendiri.
PENGIKUT AGAMA LAIN: TERJUN KE LUBANG BIAWAK
Nabi SAW pernah memberi peringatan yang amat tajam:
"Kamu akan ikut jejak langkah mereka (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan ikut juga."
Para sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?"
Rasulullah SAW menjawab:
"Siapa lagi kalau bukan mereka?"
(Hadis Riwayat Bukhari no. 7320, Muslim no. 2669)
Spirit Conjuring adalah salah satu "lubang biawak" tersebut. Ia tidak lain adalah pintu kepada pengaruh agama lain, meskipun dibungkus dengan nama Melayu atau istilah budaya sendiri.
KESIMPULAN & SERUAN
Wahai saudara-saudariku seIslam, jalan kebenaran itu penuh ujian, tapi pasti selamat. Jangan ambil jalan pintas dengan memanggil roh, spirit, atau entiti kononnya 'nenek moyang', kerana itu adalah tipu daya jin yang menyamar dan ingin menguasai kalian.
Jika kita meninggal dalam keadaan mempercayai selain daripada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka kita bukan lagi dari kalangan umatnya.
"Barangsiapa mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi."
(Surah Ali-Imran: 85)
Beta seru kalian kembali ke jalan amal, doa, zikir, tawakal. Jangan jual iman demi pertolongan ghaib yang palsu.
Kita tidak perlu spirit, kita perlukan TAQWA.
Kita tidak perlu conjuring, kita perlu TAWAKAL.
Jika mahu pertolongan ghaib, ada cara dan jalannya dalam Islam — beramal dengan ilmu yang sahih. Jangan sampai jadi pengikut jin dengan wajah nenek sendiri.
No comments:
Post a Comment