Translate

12.11.24

Takhta Antara dua Alam: Ep 27 EPISODE AKHIR



Permaisuri Urduja kembali ke Balairung Seri dengan wajah penuh ketegasan, namun bercampur kerisauan. Tanpa membuang masa, dia menghadap suaminya, Tengku Raden Wirna Wijaga.



"Maafkan adinda kerana pergi ke Kerajaan Tahan tanpa memaklumkan kanda. Adinda ke sana untuk merisik berita mengenai kejadian ini dan sudah menemui kelemahan Dewi Lo Balqis," ujar Urduja.

Tengku Raden, yang sedang memandang ke arah balkoni istana, menoleh kepada adindanya itu dengan penuh kasih sayang. "Adinda usah khuatir, kanda mempercayai adinda sepenuhnya. Setiap keputusan adinda pasti demi keselamatan negara dan kerajaan... tetapi, kelemahan? Apa maksud adinda?"

Permaisuri Urduja menghela nafas. "Iya, kanda. Kelemahan Balqis ialah cinta, begitu juga kelemahan Ratu Hubal. Ratu Bongsu telah memberitahu bahawa mereka menyimpan Kitab Khazanah Dewa yang mencatatkan sejarah latar belakang kedua-duanya," jelasnya.

Tengku Raden Wirna Wijaga mengangguk, menandakan minatnya yang semakin mendalam. "Cuba adinda ceritakan."

Permaisuri Urduja meneruskan, "Pada zaman Dewa dahulu, kemusnahan berlaku akibat cemburu dan iri hati. Tiga kerajaan Dewa besar wujud ketika itu:

 Kerajaan Langit Aithorion, Kerajaan Laut Abyssithral, dan Kerajaan Gunung Orqarnis. Namun, akibat ketamakan, Kerajaan Laut Abyssithral mencipta konspirasi untuk melaga-lagakan Kerajaan Aithorion dan Kerajaan Orqarnis."




"Kerajaan Rajawali Ratu Hubaffah ialah Kerajaan Langit Aithorion, bangsa Phenonix yang terkenal sebagai Dewa bersayap. Sementara Kerajaan Gunung Orqarnis, kerajaan saudara yang sering bersatu, adalah milik Ayahanda Adinda Balqis. Konspirasi yang berlaku telah mencipta permusuhan antara kedua-dua kerajaan ini."


Tengku Raden Wirna Wijaga mengangguk memahami, namun matanya tertumpu pada Bedofaten Ty yang sedang menggepakkan sayapnya di kejauhan. "Siapakah yang berada di sana?" tanyanya sambil menunjukkan ke arah Bedofaten Ty.

"Itu ialah Dewi Perang Bedofaten Ty, penjaga artifak sejak sekian lama. Ayahanda Balqis telah mengamanahkan padanya dua tugas—memastikan adinda Balqis mendapat tenaga penuh untuk membunuh Ratu Hubaffah demi keamanan sejagat dan mengawal tindakannya. Dewi Perang ini juga memiliki pengetahuan untuk membuka ruang dimensi ke Alam Dewa."

Tengku Raden memandang serius. "Kanda lihat Bedofaten hanya memerhati. Masalahnya, adinda Balqis seperti sudah hilang kesedaran dan mahu memusnahkan segalanya."

"Setahu adinda, tugas Bedofaten Ty bukan sekadar mengawal Balqis tetapi juga memastikan kemusnahan Ratu Hubal. Selepas itu, mereka akan membuka dimensi Dewa dan menakluki dunia kita, dimensi Bunyan," jelas Urduja, penuh keprihatinan.

Sultan Alauddin Rijalul Haq Syah, pemerintah Kerajaan Tangga 7, yang mendengar melalui kapal canggihnya, bersuara tegas, "Kita tidak boleh membiarkan hal ini terjadi. Beta sudah melakukan analisis ke atas artifak itu, dan nampaknya ia sudah musnah dan tenggelam ke dasar laut. Dengan itu, kita boleh menggunakan tenaga dan kesaktian kita untuk menewaskan Dewi Lo Balqis dan seangkatan dengannya."

Tengku Raden membalas, "Sabar sahabat. Biar beta uruskan dahulu isteri beta yang kini tidak sedarkan diri akibat dendam lama. Jika beta tidak berkemampuan, Tengku Alauddin bolehlah ikut campur. Buat masa ini, beta mohon bantuan Tengku Alauddin untuk melindungi rakyat beta, sementara Tengku Nangril disiapkan untuk mempertahankan sempadan dari sebarang ancaman."

Tengku Nangril menundukkan kepala, tetapi nada suaranya bimbang. "Beta risaukan kamu, Tengku Wirna Wijaga. Jerung yang masuk ke air tawar pasti tewas. Adakah kita mampu melawan kuasa sebesar itu?"

Tengku Raden menggeleng, memegang tangan sahabatnya. "Apakan daya, ini adalah tanggungjawab beta. Beta perlu pertahankan Kota Kayang. Jika boleh, biar perlawanan ini antara kami berdua sahaja (melawan Balqis), tanpa melibatkan bala tentera. Beta tidak ingin melihat ada yang terkorban lagi"

Ratu Sabiqin mendekat, menyerahkan pakaian perang kepada Tengku Raden. "Kanda, pakaian perang rasmi sudah disiapkan. Ini adalah pakaian paling maju yang kita ada. Ia mampu menahan gelombang, haba, dan tekanan tinggi, malah memberi kekuatan tambahan pada kanda."



Tengku Raden mengenakan pakaian perang yang diperbuat daripada teknologi nano canggih dari Tangga 7. Pada masa yang sama, Putera Andika Asmara membantu Ratu Hubal yang masih lemah, memberi tenaga padanya. "Terima kasih, kekanda," ujar Ratu Hubal lembut. "Kita perlu halang Balqis sebelum keadaan semakin parah."

"Maaf dinda, kau masih lemah. Kita perlu berundur dahulu," ujar Putera Andika, juga dikenali sebagai Sultan Andika.



Ratu Hubal menggeleng tegas. "Tidak, kekanda. Ini adalah tanggungjawab adinda untuk memperbetulkan kesilapan lalu."

Di udara, naga-naga emas Tengku Nangril mengepakkan sayap, bersedia untuk bertempur. "Anakanda, ini adalah masa untuk menunjukkan keberanian kalian," katanya kepada putera dan menantunya, Puteri Khairina.

Sementara itu, Dewi Lo Balqis sudah membebaskan dirinya daripada artifak, kini berdiri di atas bukit, matanya tajam mengintai Ratu Hubaffah. "Di mana kau, Ratu Hubaffah? Kali ini kau tidak akan terlepas!" jeritnya, mengangkat lembing energinya penuh dendam.



Tengku Raden yang menyaksikan situasi ini dari jauh, merasai pergolakan dalam hatinya. "Aku harus menyedarkan Balqis siapa dirinya sekarang, bukan yang dahulu."

Namun, jasadnya di alam nyata kian melemah. Dia mengerahkan tenaga terakhirnya, mendekati Balqis perlahan-lahan, cuba memujuknya mengenang kenangan mereka bersama. Namun, Dewi Bedofaten Ty yang melihat dari jauh terbang laju ke arah Balqis.

Jika Tengku tidak mahu bertindak, biar patik ambil alih tubuh Tengku!" pekik Bedofaten Ty sambil memasuki tubuh Balqis.



"Adinda, sedarlah!" jerit Tengku Raden sambil terapung di udara.

Balqis cuba melawan, tetapi Bedofaten Ty yang merasuknya menghunuskan pedang ke dada Tengku Raden, menikamnya. Di Balairung Seri, suasana bertukar cemas melihat Baginda ditikam.

Namun, Tengku Raden cuma tersenyum sinis, bisikannya kepada Dewi Perang Bedofaten Ty yang merasuk Tubuh Isterinya. "Rancanganku sudah terlaksana, dan bila kau masuk, aku akan tekan kau keluar dari tubuh adindaku bersama energy kuat di dalamnya."

Dengan segera, Tengku Raden menolak Bedofaten Ty keluar dari tubuh Balqis dengan jurus tapak tangannya, dan memeluk erat tubuh isterinya. Tubuh Tengku Raden terpecah menjadi dua—satu membawa Balqis turun, sementara satu lagi berdiri di hadapan Bedofaten Ty.

"Siapakah engkau sebenarnya?" tanya Dewi Perang dengan wajah bengis.

Tengku Raden menjawab dengan tegas, "Aku... manusia, yang kau gelar Insaan, dan wujudku bukan nyata."

Dengan tenaga terakhirnya, Tengku Raden memusatkan kekuatan, menghasilkan seribu pedang energi yang menyerang Bedofaten Ty. Pedang-pedang itu menembusi sayapnya, dan kini Dewi Perang itu mula sedar bahawa lawannya hanyalah tenaga.

Bedofaten Ty tersenyum sinis. "Wahai Al-Insaan, kewujudanmu langsung tidak menggentarkanku."

Namun, perlawanan yang tercetus itu menghasilkan badai besar di perairan Kota Kayang, dan Tengku Nangril yang menyaksikan dari jauh, mengumpulkan segala tenaga untuk bertindak bila perlu.



Pertarungan antara Tengku Raden dan Dewi Perang Bedofaten Ty tidak berkesudahan. Bedofaten Ty mengungkapkan rahsia bahawa tubuh Tengku Raden hanyalah sumber tenaga astral. Apabila jasadnya melemah, semuanya akan berakhir. Dia hanya perlu mengelak sehingga saat itu tiba.

Tengku Nangril, mendengar kata-kata itu, merasa bimbang. Rahsia mereka sudah terbongkar. Namun, Tengku Raden tidak menyerah. Dengan segenap tenaga, dia terus berjuang walau tahu tubuh fizikalnya semakin melemah di alam nyata.


Dari Jauh, Bantuan Permaisuri Urduja

Dari kejauhan, Permaisuri Urduja menyaksikan pertempuran sengit yang berlangsung. Keadaan yang cemas dan sesak membuatkan hatinya gundah. Tanpa berlengah, dia segera menghubungi Ratu Sabiqin untuk meminta izin memasuki alam manusia dan memberikan tenaga kepada tubuh suaminya, Tengku Raden, yang semakin lemah di sana.

"Kekanda Sabiqin, adinda perlu bergegas ke alam manusia untuk memberi tenaga pada tubuh kekanda kita. Minta kebenaran kekanda," 

Pinta Urduja dengan nada tegas namun lembut. Dia sedar bahawa izin ini penting agar Ratu Sabiqin dapat mengatur kembali siapa yang akan membantu rakyat melarikan diri ke lembah.

Ratu Sabiqin mengangguk penuh pengertian. "Baiklah, adinda. Lakukan dengan pantas. Beta akan ambil alih tugas adinda sementara waktu."

Dengan kecepatan luar biasa, Permaisuri Urduja bersama para pembantunya terbang menuju Gerbang Dimensi, meninggalkan medan perang. Wajahnya penuh kerisauan, dan sesekali air matanya mengalir. Walaupun hatinya ingin berada bersama suaminya secara berjasad di alam bunyan ini, amanah yang diberikan kepadanya harus tetap dipegang teguh. Kata-kata Tengku Raden terus terngiang di benaknya: “Adinda Urduja, jika energy ini melemah, kanda pinta adinda perkuatkan jasad kanda di alam manusia. Anak-anak Kanda masih memerlukan kanda di sana.”

Pertarungan Sengit Tengku Raden dan Dewi Bedofaten Ty

Di alam astral, Tengku Raden terus melawan Dewi Perang Bedofaten Ty. Dewi itu bijak mengelak setiap serangan tenaga yang dilancarkan, menyedari bahawa terkena satu sahaja sudah cukup untuk merobek tubuhnya. Tubuh astral Tengku Raden semakin melemah, kelihatan menjadi nipis dan samar, tetapi dia tidak berhenti, dengan keyakinan bahawa Urduja akan tiba tepat pada masanya untuk membantu.

Sesampainya di alam manusia, Urduja segera memindahkan tenaga ghaibnya ke dalam Teras Roh Idofi Tengku Raden. Dari situ, tenaga ini tersebar ke seluruh tubuh, memperkuatkan rohani Rehwani suaminya. Pemberian tenaga itu meskipun sedikit, cukup untuk mengembalikan kekuatan Tengku Raden di alam astral. Di sana, Tengku Raden kembali memancarkan cahaya terang dan menyerbu Bedofaten Ty dengan harapan dapat menyusup masuk ke tubuhnya dan merosakkan dewi itu dari dalam.

Namun, Bedofaten Ty bersedia. Dari Batu Kristal biru di tubuhnya, muncul lembing-lembing tajam yang menikam dada, perut, leher, dan bahu Tengku Raden. Serangan ini amat menyakitkan. Di alam manusia, tubuh Tengku Raden mengerang kesakitan, seolah-olah turut menerima tikaman di dada dan perutnya. Permaisuri Urduja segera mengawal tenaga rohani yang terluka, memastikan kesakitan itu tidak melemahkan semangat suaminya.

Balqis Kembali Sadar

Mainkan Lagu ini utk menghayati Watak di dalam Novel


Permaisuri Balqis, yang baru tersedar, melihat kekacauan yang berlaku di sekelilingnya. Dengan tekad yang kuat, dia terapung ke udara, pandangannya tertumpu pada Tengku Raden dan Bedofaten Ty. Kini, fikiran Balqis kembali jernih, mengingati segalanya—mereka yang dia sayangi dan dendam yang pernah menguasai dirinya. Dia melihat Ratu Hubal yang lemah di pangkuan Putera Andika dan tersenyum sambil melambai perlahan.

“Adinda, maafkan kekanda. Jagalah mereka semua bagi pihak kekanda,” bisik Balqis dalam telepati kepada Ratu Hubal.

“Terima kasih untuk semua, kekanda Tengku Raden suami tersayang, kekanda Ratu Sabiqin, dan adinda Urduja,” Balqis berbisik dalam telepati kepada semua yang ada di istana.

Semua memandang Balqis dengan penuh tanya, tertanya-tanya apa yang dia rencanakan. Balqis mendekati Tengku Raden yang semakin menyusut, dan dalam detik penuh emosi, dia memegang pipi suaminya dan mengucup dahinya.

“Maafkan adinda, kanda. Jika kita tidak bertemu di sini, kita pasti bertemu di syurga, InshaAllah,” bisik Balqis sambil melepaskan Tengku Raden yang semakin samar, lalu terbang menuju Artifak yang tenggelam ke dasar laut.

Pengorbanan Terakhir Balqis



Dengan sepenuh tenaga, Balqis memasuki Artifak, mengaktifkannya semula sehingga ia terapung tinggi dari dasar laut. Seketika itu, semua tenaga termasuk sisa-sisa tenaga Tengku Raden dan tenaga Bedofaten Ty mula tersedut masuk ke dalam Artifak. Bedofaten Ty cuba melawan, namun tenaga dari Batu Kristalnya turut tersedut tanpa henti.

“Kita sepatutnya sudah lama tiada di alam fana ini,  Bedofaten Ty. Bangsa kita telah pupus. Kini kita harus pergi bersama Artifak ini,” ucap Balqis penuh ketegasan.

Bedofaten Ty menjerit dalam amarah, “Ini bukan yang Ayahanda Tengku mahukan, Bangsa kita belum pupus sepenuhnya, mereka masih adaaaa!”

Balqis tersenyum pahit. “Peperangan ini sudah berakhir. Kita hanyalah mangsa hasad dan iri hati. Jika ayahanda mengetahui, pasti dia juga akan menghalang semua ini.”

Dengan segala kekuatannya, Balqis mengorbankan dirinya, menyebabkan Artifak tersebut melampaui batas tenaga sehingga berpecah menjadi debu. Dalam detik terakhir, Balqis memandang ke arah kerajaan Kota Kayang, sambil berkata perlahan, “Terima kasih semua. Selamat tinggal, adinda Hubal.”

Cahaya terang memancar, dan dalam sekelip mata, artifak tersebut hancur menjadi debu-debu halus yang hilang di udara. Semua yang menyaksikan hanya terdiam dalam keheningan, tak pasti sama ada mahu bersorak atau menangis.

Bangkitnya Tengku Raden di Alam Manusia

Di alam lain, sisa tenaga Tengku Raden mula membuka matanya, seperti baru keluar dari mimpi panjang. Dia mendapati dirinya berada dalam ruang tanpa batas, dikelilingi awan berkepul tebal. Tengku Raden cuba terbang dan memanggil nama isterinya " Balqis, Balqis " berulang kali.

"Kandaaa" Kedengaran sahutan suara Balqis bergema di ruangan itu namun tidak tahu di mana, Tengku Raden terus terbang tanpa arah mencari namun tidak menemui arah yang jelas, seolah-olah dia berada di sebuah alam yang penuh misteri. Dia menghabiskan tenaga Rehwaninya di alam kelam itu menjelajah sambil mencari Jejak Suara Balqis namun tidak berjumpa , yang ada cuma kelihatan makhluk makhluk aneh yang belum terlihatkan dan tidak tahu apakah nama nama makhluk itu, penjelajahan di teruskan sehingga tenaga Rehwani habis dan automatik kembali ke dunia manusia.

Di alam manusia, Permaisuri Urduja memandang jasad Tengku Raden dengan penuh harapan. Perlahan-lahan, jasad itu membuka matanya, air mata mengalir mengenangkan Balqis yang tidak di temuinya. Urduja menarik nafas lega, lalu kembali ke Kerajaan Kota Kayang dengan harapan baru.

Akhirnya, Kemenangan yang Suram

Rakyat dan para pembesar bergembira menyambut kemenangan itu, namun Ratu Sabiqin, Permaisuri Urduja, dan Puteri Khairina duduk berdiam di kamar Permaisuri Balqis, berkabung dalam duka. Tengku Raden Wirna Wijaga pula mengalami kecederaan yang parah. Walaupun jasadnya selamat, tenaga Rehwani yang diperlukan untuk memulihkan diri sepenuhnya belum pulih. Kerajaan Kota Kayang kemungkinan tidak akan dikunjunginya untuk bulan-bulan yang mendatang.

TAMAT NOVEL TAKHTA ANTARA DUA ALAM (MUSIM PERTAMA)

No comments:

Post a Comment

Hubungi Pn Kai Shomel 01111701048/01133012715 Utk Nego

Undang-Undang Kerajaan Kota Kayang Tahun 3261 ( Penggubalan Peruntukan Rumahtangga Islam Bunyan )

                                 TERMAKTUB BAGI KERAJAAN KOTA KAYANG SAHAJA Bahagian 1: Keimanan dan Ketakwaan (Peruntukan 1-4) 4370 Setiap ...